Akhirnya, satu jalan penyelesaian telah diambil oleh pihak MBSA untuk terus mengelakkan banjir kilat yang melanda Persiaran Pulau Lumut, Taman Alam Budiman, Seksyen U10 sehingga menjejaskan pengguna jalan raya dan juga warga TIEM terutama yang tinggal di Lorong 73 (Sri Tilia).
Setiap kali hujan lebat dalam tempoh beberapa jam, 2 kawasan yang akan mengalami banjir kilat ialah di persimpangan masuk ke Precint TiEM dari Persiaran Pulau Lumut dan laluan keluar dari Persiaran Pulau Lumut menghala ke Persiaran Mokhtar Dahari (PMD).
Lebih memeritkan lagi ialah apabila banjir tersebut turut memberikan kesan kepada seluruh penduduk yang tinggal di Jalan 73 (Sri Tilia) kerana air yang bertakung di persimpangan masuk TiEM akan melimpah dan mengalir deras disepanjang Jalan 73 sehingga ke Kolam Tadahan Air MBSA yang terletak bersebelehan dengan TiEM.
Penduduk yang terlibat juga memohon pemandu yang melalui Jalan 73 (semasa air sedang naik) agar memperlahankan kenderaan supaya air tidak melimpah masuk ke dalam kediaman mereka.
Banjir kilat yang melanda kawasan tersebut juga telah menyebabkan beberapa kenderaan tersangkut dan tidak boleh bergerak setelah dinaiki air. Semoga dengan adanya projek naik taraf longkang dan parit erong ini dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh semua yang terlibat.
Terima kasih kepada Persatuan Penduduk Taman Alam Budima (ABRA), MPP Zon 20, ADUN Kota Anggerik, Persatuan Penduduk Jalan 73-75 (TIEM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama yang diberikan dalam menangani permasalahan ini. Maju Rakyat Maju Negara.
Azhar Aziz
Pengerusi TiEM